AL-FATIHAH to OBJ Larut Matang

CREDITS TO CIKGU DIN

13 Januari 2012

Alfatihah, OBJ Larut,Matang & Selama Dato Seri Wan Isa telah kembali ke Rahmatullah awal subuh tadi.

Penduduk boleh ziarah ke atas jenazah Almarhum di rumah Kediaman Rasmi,Jalan Kota,berhadapan Bangunan LHDN,Taiping.

Bagi pihak DS Nizar dan Pas Kawasan Bukit Gantang, mengucapkan salam takziah, kepada isteri dan kaum keluarga almarhum DS Wan Isa,semoga roh almarhum ditempatkan bersama orang soleh dan beriman.




3 September 2011

Y.Bhg. Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Dato' Dr. Haji Wan Mohd. Isa b. Dato' Seri Haji Wan Ahmad, D.P.C.M., A.M.P., P.P.T. Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama bersama Ustaz Idris Ahmad, Pengarah Tarbiyyah Pas Malaysia. 

Kelmarin 3 September bersamaan 5 Syawal,penulis bersama Ustaz Idris Ahmad,Pegawai Khas DS Nizar,Sdr Mohd Fadhil Idris mengunjungi Orang Kaya Paduka Tuan LMS.

Ustaz Idris Ahmad yang mendapat maklumat OBJ Pak Tok tidak sihat mengajak kami untuk menziarahi Orang Besar Jajahan LMS ,di Kediaman Rasmi,di Bandar Taiping.

Pak Tok ,memberitahu kami,beliau hilang selera makan.Pak Tok ,sewaktu mengerjakan umrah pada Bulan Ramadhan baru-baru ini dilaporkan jatuh ditolak jemaah umrah di luar masjid dekat Mekah.

Ngah Ibrahim pejuang pemikir Melayu

PENJAJAH Inggeris cuba mengaitkan Ngah Ibrahim Long Jaafar (1836-1895) dengan kematian JWW Birch tetapi tiada bukti kukuh menyebabkan mereka menggunakan muslihat dan menahan pejuang kemerdekaan terawal, intelektual, pemikir dan berwawasan jauh dalam membangunkan ekonomi bangsa Melayu itu di Singapura.

Ngah Ibrahim akhirnya dijatuhkan hukuman dibuang ke Pulau Seychelles dan dipindahkan ke Sarawak sebelum kembali ke Singapura dan meninggal dunia pada 4 Februari 1895. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Al Junid, Singapura sebelum dibawa pulang ke halamannya pada 2006.

Perbincangan mengenai Ngah Ibrahim sebagai seorang daripada pahlawan serta jutawan Melayu terkenal pada abad ke-19 di Tanah Melayu tidak perlu dipertikaikan.

Dia orang yang bertanggungjawab membina Kota Ngah Ibrahim, yang kini berusia 150 tahun yang dijadikan pusat pentadbiran bersilih ganti diletakkan di bawah pemerintahan British, Jepun hinggalah akhirnya diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti pada 1985 untuk dijadikan Kompleks Sejarah Matang.

Kawasan kota itu dibina menggunakan batu bata yang dicampur simen lama dikenali Lime Motar dan mempunyai menara kawalan utara dan selatan, pelabuhan Melawati, kubur, tugu peringatan kemasukan tentera Jepun.

Bahkan, tembok yang runtuh akibat rempuhan pesawat Jepun yang terhempas di situ ketika Perang Dunia Kedua dikekalkan sebagai bahan sejarah. Pada tembok itu terdapat satu lubang kecil pada jarak setiap lima kaki dipercayai bagi tujuan pertahanan.

Ini kerana, Ngah Ibrahim pernah melantik Kapten Speedy mengetuai pasukan polis mengawal kubu berkenaan terdiri daripada orang Melayu dan tentera Gurkha.

Di satu sudut berhampiran menara selatan, terdapat satu perigi lama yang digali semula oleh arkeologi dan hasilnya membuktikan seni bina yang menarik. Susunan bata diletak dengan tiga corak iaitu melintang, menegak dan bentuk V atau tulang belut.

Airnya masih banyak dan jernih, tetapi pengunjung tidak dibenarkan memijak batu bata di situ bagi mengelakkan runtuhan.

Ahmad Sazali berkata, kubu itu pada asalnya terletak berhampiran sungai tetapi kini sungai itu menjadi sempit dan langsung tidak digunakan.

“Ngah Ibrahim mempunyai empat kapal iaitu dua kapal layar dinamakan Bahtera Bayu dan Indera Bayu yang prestasinya lebih hebat daripada Kapal Pluto yang menjadi lokasi Perjanjian Pangkor pada 1874 serta serta dua kapal stim,” katanya.

Di dalam kompleks dua tingkat itu juga mengandungi pelbagai artifak sejarah termasuk tinggalan aktiviti perlombongan, sistem pemerintahan, mahkamah, senjata dan agak menarik ialah replika Si Larut, iaitu gajah milik Long Jaafar yang dikatakan menemui bijih timah ketika berkubang di Larut.

Kota Ngah Ibrahim jadi kompleks sejarah

KOMPLEKS sejarah Matang, Perak yang terletak di Matang (dulu dikenali sebagai Permatang) di Mukim Bukit Gantang, Perak dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Beliau adalah anak kepada Che Long Jaafar, iaitu orang Melayu pertama yang membuka perusahaan lombong bijih timah di Larut, Matang dan Selama pada 1840.

Kompleks ini adalah sebuah bangunan yang dijadikan rumah, kota dan pusat pentadbiran Larut dan ditempatkan di kawasan seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina hanya menggunakan bahan daripada batu bata saja.

Selepas Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895, kota ini diletakkan di bawah pengawasan Inggeris sehinggalah ia dijadikan Maktab Perguruan Melayu Matang pada 1913 hingga 1922.

Selepas itu, ia dijadikan sebagai Sekolah Melayu pada 1923 hingga 1941. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942 hingga 1945), ia berperanan sebagai markas tentera Jepun. Apabila Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1946, rumah itu dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1946 hingga 1983).

Kota ini dijadikan Kompleks Sejarah Matang hingga sekarang mulai 1985 selepas ia diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Koleksi dan galeri:

  • Terdiri daripada semua jenis artifak berkaitan kronologi penubuhan kompleks.

    Pameran tetap:

  • Kronologi penubuhan bangunan

  • Penggunaan bangunan bermula keluarga Che Long Jaafar, Ngah Ibrahim, pemerintahan Inggeris, Pendudukan Jepun, Maktab Latihan Perguruan Melayu Matang dan Sekolah Melayu

    Hari dan masa lawatan:

  • Setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang (kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha)

    Bayaran:

  • Percuma

    Tempat menarik berhampiran:

  • Hutan Paya Bakau Matang

  • Mahkamah Pertama Perak

  • Makam Dato; Sagor

  • Masjid Tengku Menteri

    Lokasi:

  • Terletak di Matang, Mukim Bukit Gantang, daerah Taiping, Perak

  • Kira-kira 30 minit perjalanan dari Bandar Taiping

  • Kira-kira 8 kilometer dari Bandar Taiping.

    Biodata Ngah Ibrahim:

  • Dilahirkan pada 1836 di Bukit Gantang, Perak dan kawasan kelahirannya adalah daerah pemerintahan bapanya, Long Jaafar pada zaman kegemilangannya sehingga pembinaan Kota Long Jaafar.

  • Ngah Ibrahim adalah anak hasil perkahwinan Long Jaafar Datuk Paduka Setia Long Abdul Latif dengan Cik Ngah Pura Datuk Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja Alang Alaiddin.

  • Long Jaafar adalah pengusaha bijih timah terkenal bermula pada 1840. Beliau juga pengusaha ladang tebu di Kerian dan Bagan Tiang serta pengusaha ladang kopi di Assam Kumbang, Taiping.
  • Perjuangan orang Melayu diabadikan

    PERISTIWA perjuangan orang Melayu menentang penjajahan British di Pasir Salak sehingga menyebabkan kematian Residen British, JWW Birch, terus diabadikan di bumi bersejarah itu.Kini, Kompleks Sejarah Pasir Salak dibangunkan di wilayah yang menjadi saksi perjuangan pahlawan Melayu demi membela tanah air, bangsa dan agama daripada dicemari penjajah. Bagi generasi muda pasca kemerdekaan, kompleks sejarah itu dibina khas untuk mengenang kembali sejarah perjuangan pahit getir pahlawan Melayu seperti Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela dalam menentang penjajahan. Jasa mereka diabadikan menerusi pembinaan memorial khas berbentuk ‘sundang’ iaitu sejenis senjata Melayu berbentuk pedang yang digunakan dalam pembunuhan JWW Birch. Di kompleks itu jugalah letaknya kubur JWW Birch, pusara Si Puntum, kubu Datuk Maharajalela dan meriam ‘Lela Rentaka’ yang digunakan dalam pertempuran menentang British. Lebih 600 artifak dipamerkan seperti senjata lama, tembikar dan peralatan lama selain 42 ‘diorama’ iaitu replika patung kecil yang disusun sepanjang terowong bagi menggambarkan sejarah perjuangan orang Melayu di setiap negeri di negara kita.

    Memasuki Terowong Sejarah itu tidak sekadar mengembalikan nostalgia pengunjung ke zaman silam tetapi pasti menggetarkan perasaan setiap insan yang memiliki semangat nasionalisme tinggi.Diorama pertama menggambarkan sejarah awal penempatan orang Melayu kuno di muara Sungai Selinsing, manakala diorama ke-42 menggambarkan pembunuhan Gabenor Duncan Stewart oleh Rosli Dhobi di Sarawak.

    Kompleks itu dibuka dengan rasminya oleh DYTM Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990 dengan idea penubuhannya diilhamkan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.Turut berdiri kukuh ialah dua tugu iaitu tugu peringatan pahlawan Perak yang diabadikan menerusi pembinaan replika sundang atau pedang gergasi serta masjid asal yang terletak berdekatan lokasi Birch dibunuh.Seorang pengunjung, Mior Ahmad Zubri, 39, berkata terowong itu memiliki keistimewaannya tersendiri dari segi pameran bahan yang terdapat di situ. Kedudukannya menghadap Sungai Perak seolah-olah mengimbau kembali sejarah zaman dulu ketika orang Melayu bangun menentang penjajah Inggeris. Katanya, semangat penentangan orang Melayu terhadap penjajah adalah satu semangat yang tulen dan berani sebagaimana dibuktikan menerusi dokumen sejarah bangsa."Penjajah sudah tiada di tanah air kita dan orang Melayu kini bangkit sebagai bangsa yang merdeka dan mempunyai negara yang berdaulat. Kehebatan orang Melayu terletak pada pemimpin zaman modennya yang bijak berpolitik di samping mempunyai darah pejuang yang sejati," katanya.

    Jejak: Residen angkuh, biadap dibunuh

    PADA 2 November 1875, adalah tarikh kematian seorang residen British yang angkuh serta biadab. Hasrat James Wheeler Woodford Birch atau JWW Birch untuk terus 'memperhambakan’orang Melayu tidak kesampaian sebaliknya kebiadapan lelaki asing itu menyebabkan nyawanya melayang.

    Itulah kemuncak kepada sejarah perjuangan orang Melayu menentang penjajah asing di Pasir Salak, sejarah agung yang akan terus dikenang sebagai bukti perjuangan demi cintakan bangsa, agama dan tanah air.

    Sejarah panjang itu bermula pada 20 Januari 1874 apabila Raja Abdullah iaitu seorang daripada kerabat diraja Perak melakukan kesilapan terbesar apabila meminta sokongan British bagi membolehkan dirinya merebut takhta menjadi sultan. Lalu pada tarikh itu, Perjanjian Pangkor dimeterai dengan British mengiktiraf Raja Abdullah menjadi Sultan Perak manakala sultan sedia ada iaitu Sultan Ismail diturunkan daripada takhta. Bagaimanapun, terdapat satu daripada syarat Perjanjian Pangkor yang menjadi helah British bagi membolehkan mereka menjajah Perak - Sultan Perak harus menerima seorang Residen British untuk menasihati baginda memerintah.

    JWW Birch kemudian dilantik sebagai residen pertama di Perak umumnya dan Tanah Melayu khususnya. Bagaimanapun, sebaik tiba di Perak, lelaki asing itu mula besar kepala dan berlagak bagaikan dirinya raja yang memerintah Perak. Dia mula ‘memijak kepala’ sultan dengan tidak lagi menghormati peranan dan kuasa diraja dalam sistem pemerintahan orang Melayu. Pelbagai peraturan baru yang menekan pembesar serta penduduk mula diperkenalkan Birch terutama membabitkan cukai yang tinggi. Keadaan itu menambahkan derita penduduk yang kebanyakannya hidup miskin. Birch juga cuba mengambil alih tugas mengutip cukai daripada pembesar Melayu apabila menetapkan syarat baru iaitu hanya pegawai yang dilantiknya saja boleh mengutip cukai manakala cukai Kerajaan Perak akan diurus pegawai British. Syarat itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pembesar Melayu. Lelaki asing itu juga semakin besar kepala apabila sesuka hati campur tangan di dalam adat istiadat penduduk dengan menghapuskan sistem hamba yang sudah lama diamalkan di Perak. Sikap kurang ajar dan keangkuhan lelaki asing itu jelas terserlah apabila dia pernah mengarahkan sultan supaya diam dan mematuhi segala arahannya selaku residen apabila Sultan Abdullah menegurnya kerana membuat pelbagai tindakan tanpa merujuk kepada baginda. Kemuncak kebiadapan Birch adalah apabila dia memaksa Sultan Abdullah menandatangani surat supaya memberi hak kepada British untuk memerintah Perak. Sultan Abdullah diugut akan dilucutkan takhta jika baginda enggan menandatangani surat berkenaan. Ugutan itu menyebabkan baginda mengadakan mesyuarat dengan pembesar negeri di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875.
    Mereka dimaklumkan mengenai hasrat British untuk mengambil alih pemerintahan negeri serta tugas mengutip cukai. Mendengar penjelasan Sultan Abdullah itu, pembesar semakin berang kepada British yang cuba menjajah Perak.

    Satu usul untuk membunuh Birch dikemukakan dan pelbagai cadangan diberikan antaranya dengan meracun, sihir dan menikam lelaki asing itu. Akhirnya mesyuarat bersetuju untuk membenarkan Datuk Maharajalela iaitu pembesar kanan dalam Orang Besar Berlapan Perak serta Penghulu Pasir Salak, membunuh Birch dengan menikam penjajah itu.

    Dalam pada itu, Birch terus memberi tekanan kepada Sultan Abdullah untuk membolehkan British menjajah Perak. Tekanan berterusan menyebabkan Sultan Abdullah terpaksa bersetuju menyerahkan Perak untuk diperintah British pada 2 Oktober 1875. Pada 15 Oktober 1875, Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir William Jervois mengumumkan yang Perak akan diletakkan di bawah pentadbiran British dan akan diketuai seorang pesuruhjaya. Surat pengisytiharan dicetak untuk ditampal di merata tempat di seluruh Perak. Pada mulanya ia ditampal di kawasan kediaman Birch di Bandar Baharu dengan diikuti istiadat tembakan meriam 21 das. Selepas itu surat berkenaan mula ditampal di tempat lain. Berita itu sampai ke pengetahuan Datuk Maharajalela menyebabkan pembesar itu semakin berang. Dia bertekad untuk tidak membenarkan penjajah itu terus menjajah tanah airnya.Datuk Maharajalela mengarahkan pengikutnya mula membina kubu di Pasir Salak dan mengumpulkan senjata kerana yakin yang Birch akan datang ke kawasannya untuk menampalkan surat pengumuman itu.

    Sangkaannya benar apabila rombongan Birch tiba di Pasir Salak menggunakan rumah rakit dan perahu pada malam 1 November 1875. Pagi keesokannya, Birch memerintahkan orangnya naik ke darat dan jurubahasanya iaitu Mat Arshad disuruh pergi ke rumah Datuk Maharajalela dan meminta pembesar itu menghadap lelaki British itu. Bagaimanapun, arahan Birch itu menyebabkan pemerintah Pasir Salak itu melenting, sudahlah lelaki asing itu menceroboh ke kawasannya, berlagak pula bagai raja dengan memerintah untuk menghadapnya. Reaksi Datuk Maharajalela itu segera disampaikan Mat Arshad kepada Birch tetapi lelaki asing itu tetap angkuh. Dia memerintahkan Mat Arshad dan pengikutnya segera menampalkan surat pemungutan cukai oleh British di seluruh pelusuk kampung. Melihat pengikut Birch menampalkan surat berkenaan, penduduk kampung mula berang. Mereka mengoyak surat yang ditampal itu tetapi pengikut British itu tetap meneruskan tugas menampal surat itu tanpa mempedulikan sensitiviti penduduk. Akhirnya situasi tegang mula tercetus. Mat Arshad masih tidak menghiraukan kemarahan penduduk Pasir Salak sebaliknya terus menampal surat pengumuman kutipan cukai di dinding kedai emas di kawasan itu. Tindakan Mat Arshad yang tidak mengendahkan larangan dan sensitiviti penduduk menyebabkan hati Pandak Indut semakin membara. Pengikut Datuk Maharajalela itu meluru ke arah Mat Arshad dan terus mengoyakkan surat yang ditampal lelaki itu.Mat Arshad tidak peduli dan bagaikan mencabar Pandak Indut, dia terus menampal surat pengumuman yang baru. Sekali lagi Pandak Indut mengoyakkan surat berkenaan. Selepas beberapa kali surat berkenaan dikoyak dan melihat Mat Arshad terus menampalkan surat baru, Pandak Indut tidak dapat bersabar lagi. Baginya, lelaki Melayu yang menjadi orang suruhan bangsa asing itu sudah melampau.Dengan pantas Pandak Indut menusuk kerisnya ke jasad Mat Arshad. Lelaki itu mengerang kesakitan dan terus rebah ke tanah. Tindakan Pandak Indut menikam pengikut Birch itu seolah-olah satu isyarat supaya orang Melayu bertindak. Jeritan amarah penduduk bergema membelah langit Pasir Salak. Mereka mula mengamuk dan menyerbu ke rumah rakit Birch sambil merejam lembing. Askar pengawal Birch yang ketakutan melihat amukan dan serbuan penduduk kampung, segera melarikan diri meninggalkan rumah rakit itu tanpa pengawal. Keriuhan di luar menyentak Birch yang sedang mandi ketika itu. Bagaimanapun, ketika dia menyedari yang penduduk kampung mula mengamuk, segala-galanya sudah terlambat.Rejaman lembing penduduk menembusi rumah rakit itu seterusnya menusuk jasad Birch. Penduduk terus merusuh ingin membunuhnya. Dalam keadaannya yang cedera parah, Birch cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam sungai.Ketika dia timbul tercungap-cungap di permukaan air, Si Putum iaitu seorang pengikut Datuk Maharajalela daripada kalangan Orang Asli, dengan pantas menetak kepala lelaki asing itu menggunakan pedang. Darah merah mencemari air sungai dan jasad Birch akhirnya tenggelam dan dihanyutkan arus ...

    sumber: Sejarah Malaysia Edisi Kedua, Mereka Bukan Penderhaka dan Pahlawan Pasir Salak.