PERISTIWA perjuangan orang Melayu menentang penjajahan British di Pasir Salak sehingga menyebabkan kematian Residen British, JWW Birch, terus diabadikan di bumi bersejarah itu.Kini, Kompleks Sejarah Pasir Salak dibangunkan di wilayah yang menjadi saksi perjuangan pahlawan Melayu demi membela tanah air, bangsa dan agama daripada dicemari penjajah. Bagi generasi muda pasca kemerdekaan, kompleks sejarah itu dibina khas untuk mengenang kembali sejarah perjuangan pahit getir pahlawan Melayu seperti Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela dalam menentang penjajahan. Jasa mereka diabadikan menerusi pembinaan memorial khas berbentuk ‘sundang’ iaitu sejenis senjata Melayu berbentuk pedang yang digunakan dalam pembunuhan JWW Birch. Di kompleks itu jugalah letaknya kubur JWW Birch, pusara Si Puntum, kubu Datuk Maharajalela dan meriam ‘Lela Rentaka’ yang digunakan dalam pertempuran menentang British. Lebih 600 artifak dipamerkan seperti senjata lama, tembikar dan peralatan lama selain 42 ‘diorama’ iaitu replika patung kecil yang disusun sepanjang terowong bagi menggambarkan sejarah perjuangan orang Melayu di setiap negeri di negara kita.
Memasuki Terowong Sejarah itu tidak sekadar mengembalikan nostalgia pengunjung ke zaman silam tetapi pasti menggetarkan perasaan setiap insan yang memiliki semangat nasionalisme tinggi.Diorama pertama menggambarkan sejarah awal penempatan orang Melayu kuno di muara Sungai Selinsing, manakala diorama ke-42 menggambarkan pembunuhan Gabenor Duncan Stewart oleh Rosli Dhobi di Sarawak.
Kompleks itu dibuka dengan rasminya oleh DYTM Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990 dengan idea penubuhannya diilhamkan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.Turut berdiri kukuh ialah dua tugu iaitu tugu peringatan pahlawan Perak yang diabadikan menerusi pembinaan replika sundang atau pedang gergasi serta masjid asal yang terletak berdekatan lokasi Birch dibunuh.Seorang pengunjung, Mior Ahmad Zubri, 39, berkata terowong itu memiliki keistimewaannya tersendiri dari segi pameran bahan yang terdapat di situ. Kedudukannya menghadap Sungai Perak seolah-olah mengimbau kembali sejarah zaman dulu ketika orang Melayu bangun menentang penjajah Inggeris. Katanya, semangat penentangan orang Melayu terhadap penjajah adalah satu semangat yang tulen dan berani sebagaimana dibuktikan menerusi dokumen sejarah bangsa."Penjajah sudah tiada di tanah air kita dan orang Melayu kini bangkit sebagai bangsa yang merdeka dan mempunyai negara yang berdaulat. Kehebatan orang Melayu terletak pada pemimpin zaman modennya yang bijak berpolitik di samping mempunyai darah pejuang yang sejati," katanya.