" KEMBALI " selepas 129 tahun di buang negeri


Satu lagi sejarah negara akan dilakar apabila jenazah Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan bapa mertuanya Laksamana Mohamad Amin Alang Duakap tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja (TLDM) Lumut untuk di kebumikan di Perak setelah 129 tahun dibuang negeri.




Jenazah pahlawan Melayu Perak Ngah Ibrahim akan disemadikan di Kompleks Sejarah Matang, Taiping manakala Mohamad Amin di Makam Diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Sebaik tiba dari Singapura, satu upacara penuh adat istiadat mengikut penghormatan negara sebagai mengenang jasa dan sumbangan mereka yang pernah menentang penjajah akan dilakukan.


Raja Muda Perak, DYTM Raja Nazrin Shah akan mengetuai upacara sambutan dengan diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim.

Kubur kedua-dua pahlawan itu berjaya di kesan semula pada 4 Ogos 2004 di Singapura selepas satu kajian terperinci mengenainya dilakukan. "Jasad Mohd Amin akan di kebumikan bersebelahan pusara Sultan Abdullah yang berjuang bersama mereka dalam menentang penjajah British," katanya selepas menutup Perhimpunan Kelab Adun Negeri SeMalaysia (BBC).
Hasrat memindahkan jasad mereka sejak Ogos 2004, direalisasikan Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama kerajaan negeri selepas mendapati jasa dan pengorbanan kedua-dua pahlawan negara itu semakin dilupakan.

Walaupun jasad Mohamad Amin berjaya di kesan sekitar 1980-an oleh warisnya yang menetap di Singapura, usaha mengenal pasti jasad Ngah Ibrahim menghadapi kesukaran.

Pusara Ngah Ibrahim terletak di Tanah Perkuburan Al-Junid, Jalan Kubor manakala pusara Mohd Amin terletak di Pusara Aman, Chua Chu Kang di Singapura.

Ngah Ibrahim adalah pembesar Melayu terkaya abad ke-13 hasil perlombongan bijih timah di Larut dan dibuang negeri bersama Almarhum Sultan Abdullah, Mohamad Amin dan Datuk Syahbandar selepas terbabit dengan pembunuhan Residen Inggeris di Perak, J W W Brich pada 1875.

Bagaimanapun, Sultan Abdullah diampunkan British selepas 16 tahun tinggal dalam buangan dan kembali ke Perak serta tinggal di Kuala Kangsar hingga kemangkatannya.

Penghormatan perlu diberikan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti, Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara dan beberapa badan sejarah termasuk kerajaan negeri Perak serta anak cucu Ngah Ibrahim dan Mohamad Amin.

Bagaimanapun, kontroversi mula tercetus apabila terdapat laporan bercanggah mengenai kedudukan kubur Ngah Ibrahim yang sebenar kerana ada yang mendakwa beliau di kebumikan di Kampung Dendang, dekat Beruas selepas kembali semula ke Perak secara senyap-senyap.

Pengakuan seorang lelaki Yacob Ngah Ibrahim, 80, yang mendakwa anak bongsu kepada Ngah Ibrahim mencetuskan sedikit kekeliruan walaupun dari segi fakta, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan, Datuk Dr. Wan Mohd. Isa Wan Ahmad yang juga piut Ngah Ibrahim lebih tepat kerana mewarisi jawatan yang dipegang oleh moyangnya itu.

Ironinya, untuk membuktikan sejarah proses kajian yang cukup panjang diperlukan dengan disokong oleh fakta-fakta konkrit walaupun mungkin ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Mungkin jalan penyelesaian terbaik bagi mengesahkan dakwaan Yacob dan Dr. Wan Mohd Isa ialah melalui ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).

Peranan Ngah Ibrahim merupakan anak kepada Che Long Jaafar yang memerintah daerah Larut, Taiping, beliau mewarisi pusaka kekayaan bapanya di Larut - jutawan berpengaruh di Perak yang memainkan peranan cukup besar dalam pembangunan ekonomi negeri.

Muncul sebagai anak Melayu pertama membuka perusahaan melombong bijih timah pada 1840 di kawasan Larut, Matang, Ngah Ibrahim terlibat secara langsung dalam membawa masuk buruh dari China.


Ini kerana beliau memerlukan tenaga buruh yang cukup ramai untuk bekerja di lombong-lombong bijih miliknya dan kesan daripadanya wujudkan kumpulan-kumpulan kongsi gelap.Berdasarkan fakta sejarah, pergolakan yang berlaku di antara kumpulan kongsi gelap akhirnya mencetuskan Perang Larut Pertama (1861-1862).

Ngah Ibrahim terpaksa membina sebuah rumah besar yang dilengkapi kota yang dipanggil Kota Ngah Ibrahim untuk melindungi harta kekayaannya.


Kota Ngah Ibrahim yang pernah dijadikan sebagai pusat pentadbiran Larut kini di kenali sebagai Kompleks Sejarah Matang, menjadi lokasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang ingin mengkaji sejarah.

Sudah menjadi tradisi apabila berlaku peperangan, perkara yang tidak boleh dielakkan ialah kerugian - itulah yang berlaku dalam Perang Larut sehingga Sultan Perak ketika itu, Sultan Muazzam Shah memerintahkan Ngah Ibrahim membayar sejumlah ganti rugi.Sebagai seorang usahawan berpengaruh yang memiliki sejumlah kekayaan, gantirugi yang mencecah RM 17,000 (ketika itu) bukanlah satu bebanan, sebagai balasannya beliau dikurniakan gelaran Orang Kaya Menteri tahun 1864.

Tetapi pergaduhan tercetus sekali lagi pada tahun 1865-1874 di Matang dan bagi menyelesaikan pergaduhan itu, Ngah Ibrahim dan satu puak kongsi gelap terpaksa meminta bantuan Sir Henry Ord di Singapura dan Leftenan Gabenor George W.R Campbell di Pulau Pinang.

Tindakan ini yang menyebabkan pihak Inggeris mula campur tangan di Tanah Melayu, hingga termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 dan seterusnya membawa kepada pendudukan Inggeris di Tanah Melayu. Ekoran itu, seorang Residen Inggeris pertama James Wheeler Woodford Birch (J.W.W Birch) telah dihantar untuk memerintah Perak.

Kebangkitan rakyat bermula apabila pegawai Inggeris itu gagal memahami adat resam, budaya dan agama orang Melayu sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati untuk menentang penjajah.Datuk Maharajalela yang mewakili suara sebahagian besar rakyat Perak akhirnya menggunakan orang suruhannya, Si Puntum - lelaki Orang Asli untuk membunuh Birch yang sedang mandi pada 1875.

Akibatnya Datuk Maharajalela dan mertuanya, Pandak Endut, Si Puntum dan beberapa pahlawan Melayu lain menjadi buruan Inggeris dan akhirnya dihukum gantung pada 1877 di Matang. Ngah Ibrahim dan Mohd Amin tidak pernah dibicarakan, tetapi telah dibuang daerah dan diasingkan ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi pada tahun 1877 bersama-sama Sultan Abdullah yang memerintah Hilir Perak.

Ini termasuklah Datuk Syahbandar Uda Maamor kerana mereka dituduh terlibat dengan pakatan membunuh Birch di Pasir Salak bersama-sama pahlawan Perak yang lain seperti Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Pandak Endut, Si Puntum dan sebagainya.

Satu perkara lagi ialah kerajaan juga perlu mengambil inisiatif untuk mencari kubur Datuk Syahbandar Uda Maamor yang turut sama dibuang negeri oleh pihak Inggeris.

Perkara ini disuarakan oleh piut Mohamad Amin Alang Duakap, Toh Muda Mohd. Khairi Ahmad Tazalli yang merupakan Orang Besar Jajahan Manjung sangat berharap makam sepupu Mohamad Amin iaitu dapat dicari untuk di kebumikan semula di Perak.

Mohd. Khairi berkata, walaupun gembira dengan penemuan kubur Mohamad Amin, beliau sedih kerana kubur Uda Maamor yang turut dihukum buang negeri ke Pulau Seychelles bersama Ngah Ibrahim dan Mohamad Amin masih tidak ditemui.

Harapannya ialah semua pahlawan Melayu yang telah memulakan satu revolusi untuk menentang penjajahan Inggeris dapat dibawa pulang ke tanah air untuk disemadikan sebagai wira negara.Sementara itu di Taiping, Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali menyifatkan kepulangan jasad kedua-dua pahlawan ke Perak semalam sebagai `pembakar semangat’ patriotisme.“Kerajaan negeri dan rakyat Perak berbangga dengan kembalinya jenazah dua pahlawan Perak yang menentang penjajah. Ini menjadi pembakar semangat, kalau dulu mereka berjuang menentang penjajah, hari ini kita pertahankan kemerdekaan,” katanya pada sidang media selepas majlis pengebumian Ngah Ibrahim di Kompleks Sejarah Matang.

Tajol Rosli berkata perjuangan dua tokoh itu sehingga dibuang negeri ke pulau Seychelles oleh British telah mencetuskan semangat patriotisme dalam kalangan orang Melayu. Beliau berkata usaha membawa balik jasad dua tokoh itu diperkenankan oleh Dewan Undangan Negeri Perak yang dipengerusikan Sultan Perak, DYMM Sultan Azlan Shah dan terserah kepada kebijaksanaan dewan untuk menerima tawaran pihak yang ingin menjalankan ujian DNA.

Beliau kemudian mengumumkan kerajaan negeri juga akan memulakan usaha mencari dan mengenal pasti pusara seorang lagi pahlawan yang dibuang bersama-sama ke Pulau Seychelles iaitu Datuk Syahbandar Uda Maamor, jika diperkenankan Tuanku Baginda DYMM Sultan Azlan Shah.

Datuk Pengelola Bijaya Di Raja Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Raja Mansur Raja Razman berkata, lapan (8) Sultan Perak yang di kebumikan di makam berkenaan ialah Sultan Idris Shah I, Sultan Idris Shah II, Sultan Jaafar, Sultan Abdullah, Sultan Iskandar Shah, Sultan Abdul Jalil, Sultan Abdul Aziz & Sultan Jaafar Shah. Beliau berkata, liang lahat Mohamad Amin yang siap digali terletak kira-kira enam meter dari Makam Sultan Abdullah. "Selain makam Sultan Perak, raja-raja bergelar, kerabat dan pembesar-pembesar istana yang mendapat perkenan Sultan Perak turut disemadikan di makam ini". "Kubur Laksamana Mohamad Amin berada dalam kawasan yang menempatkan Makam Sultan Abdullah, kerabat dan pembesar-pembesar baginda yang mendapat perkenan Sultan Perak untuk di kebumikan di makam ini".